Wednesday 21 March 2012

Contoh Jawapan -- Karangan Cerita (UPSR)

Tajuk:

Kamu telah mengikuti Program Motivasi UPSR yang dianjurkan oleh sekolah kamu.  Ceritakan pengalaman kamu semasa mengikuti program tersebut. (2005)


Contoh jawapan:


          Tahun ini merupakan tahun yang tersibuk dan terpenting untuk aku dan rakan-rakan yang berada di tahun enam. Kami akan menduduki peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah yang hanya tinggal beberapa bulan sahaja lagi.

Kesedaran untuk melipat gandakan usaha dalam mencapai kecemerlangan mula wujud sedikit demi sedikit dalam hati aku dan rakan-rakan.  Malah, pihak sekolah juga banyak membantu kami dengan mengadakan berbagai kursus dan bengkel motivasi.  Pada hari Sabtu yang lepas, pihak sekolah telah mengadakan Program Motivasi UPSR yang pertama di sekolahku. 

Program itu diadakan di dewan sekolah bermula pada jam tujuh setengah pagi sehingga sebelas malam.  Guru-guru sekolahku serta beberapa orang guru pakar daripada  sekolah lain turut terlibat dalam program tersebut.  Aktiviti pengenalan serta ceramah motivasi menjadi acara pembuka program itu diikuti dengan ceramah subjek serta teknik menjawab soalan.

Semua peserta diberi ruang untuk berehat sekitar jam dua belas setengah.  Aku dan rakan-rakan menikmati makan tengah hari kami yang disediakan oleh pihak sekolah serta solat Zuhur berjemaah di surau sekolah berimamkan Ustaz Adib.  Setelah berehat lebih kurang dua jam, kami kembali semula ke dewan sekolah untuk mengikuti acara seterusnya iaitu tugasan dalam kumpulan dan aktiviti riadah. 

Setiap aktiviti yang dijalankan baik secara individu mahu pun berkumpulan mengajar kami untuk berdikari, semangat setia kawan, bekerja dalam kumpulan, tolong-menolong, bertolak ansur dan paling penting berfikir secara kreatif.  Tip-tip yang diberikan oleh pakar-pakar subjek sangat membantu dan berguna untuk kami.

Selepas solat maghrib berjemaah, kami bersama-sama berkumpul di surau mendengar ceramah keagaamaan daripada seorang penceramah luar yang dijemput khas.  Tersentuh hatiku mendengar setiap apa yang diperkatakan.  Kemudian, kami menunaikan solat hajat selepas solat Isyak.  Ketika itulah, ramai di antara rakan-rakanku termasuk juga diriku teresak-esak menangis.  Perasaan sesal timbul kerana sedar telah banyak masa yang aku sia-siakan.  Pada malam itu, aku nekad untuk tidak akan mensia-siakan waktu yang berbaki ini.

Tepat jam sebelas malam, majlis penutup yang diadakan di dewan sekolah diakhiri dengan lafaz Bismillah dan ikrar Aku Janji kami pelajar-pelajar tahun enam untuk berusaha bersungguh-sungguh menaikkan nama sekolah ke peringkat yang terbaik.  Di dalam hati aku, sudah tersemai benih harapan dan tekad.  Aku berharap program ini akan menjadikan aku lebih yakin untuk menghadapi UPSR nanti.